“Bangsa yang menjajah adalah bangsa yang kuat. Lihat sahaja bagaimana Portugis mampu menjajah selama hampir tahun di Tanah Melayu bermula dari 1511 hingga 1646” tutur Prof Edward Doughlas dalam kuliah sejarah dan peradaban. Nadanya berbaur rasa bangga. Mungkin darahnya, darah waris penjajah. Aku hanya mendengar secara saksama sambil menganalisis isi-isi syarahan Prof. Edward Doughlas.

“Negara-negara penjajah ini biasanya menjadi Negara maju kini, lihat contoh seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda”

“Kekuatan ini terletak pada integriti keilmuan yang diamalkan mereka. ingatkah kamu pada kebangkitan mereka semasa zaman kegelapan? Kemudian zaman renaissance menjelma lantas memaknakan kehidupan mereka hingga ke hari ini” Prof Edward menyambung lagi

Aku menompang dagu. Ya, sedikit bersetuju dengan Professor, namun aku kurang bersetuju dengan kenyataannya bahawa bangsa yang menjajah adalah bangsa yang kuat. Dudukku tidak tentu. Aku mencari posisi paling selesa. Mindaku ligat menganalisis fakta. Bagiku kekuatan bukan perlu dipusatkan kepada pengaruh bala tentera, namun lebih dari itu.

“Prof, bagaimana pula dengan Bangsa yang mempunyai spiritual yang kuat, adakah kita perlu menafikan kekuatan mereka. Bangsa penjajah punya kekuatan dari segi ilmu, namun, agak ketinggalan dari segi spiritual?” aku menyoal professor. Ku susun tuturku agar soalanku menjadi seumum mungkin. Aku mahukan jawapan dari insan yang mewarisi darah penjajah yang mungkin pernah menjadi penjajah Tanah Melayu.
“terima kasih sayyidah” Prof Edward berhenti sejenak. Kemudian mengatur langkah ke tempat duduk berhadapan sidang pelajarnya.
“ya, percaya atau tidak, Prophet Muhammad merupakan seorang pemimpin paling berjaya pada kurun ini. 1400 tahun yang lampau..”
Aku tersenyum. Selawat dan salam ku titipkan buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Akhirnya dengan rasa rendah diri, Prof. Edward Doughlas mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul terakhir. Bahawa kerasulan Nabi Muhammad tidak diterima oleh golongan ahli kitab yang tidak dapat menerima susur galur Rasul terakhir bukan dari kalangan bani Israel.
Aku menemukan sesuatu yang menarik semasa berada dalam kuliah prof Edward doughlas. Mungkin sesuatu yang amat berguna buat bangsaku di Malaysia kelak. Tanganku mencapai beg galas warna coklat gelap yang tergantung dibelakang pintu. Seraya melabuhkan punggungku ke atas katil yang nyaman bercadar nipis warna kuning air. Lantas aku mengeluarkan sebuah buku catatan milikku yang berwarna hijau pucuk pisang yang berhias bunga tabur warna putih dan merah jambu. Ia adalah pemberian dari ibu. Ah, tiba-tiba sahaja perasaan rindu pada seluruh ahli keluarga mengasak sanubari. Lama sudah tidak mendengar khabar mereka.
Aku menghela nafas. Perlahan-lahan aku bangkit menuju meja tulisku. Halaman buku catatan ini kubuka. Lalu menukilkan sesuatu. Bahawa ilham ini adalah anugerah Ilahi yang sangat memaknakan hidupku…
BUMIKU BERTUAH

Tuah yang bertelingkah,
Jebat yang rebah,
Seteru bersorak megah,
Di laman dilemma dewasa,
Antara sahabat antara setia.

Demimu tuan,
Engkau hunuskan telagah,
Biar melayang roh sebangsa,
Biar dendam mewalangkan hati,
Biar kesumat engkau langsaikan,
Bukti cinta kepada raja,
Bukti sumpah janji setia.

Sudah ku khabarkan di angin lalu,
Takkan melayu hilang dibumi,
Takkan mengemis di tanah sendiri,
Kerana dijajah bangsa berjaya,
Kerana lemah dijajah kekuatan,
Sejarah lama takkan berubah,
Ilmu lambang kekuasaan bangsa.

Sudah angin khabarkan sejarah,
Bangsaku melayu takkan mati,
pantang menyerah sebelum kalah,
pantang ajal sebelum mati,
biar berjuang berputih tulang,
jangan bangsaku berputih mata.

Pejuangku melunas hutang keamanan,
Berbayar darah berbayar nyawa,
Demi cintanya bumi bertuah,
Demi cintanya pada agama,
Terbayar sudah harga derita,
Terlangsai sudah hutang sengsara.

Anak-anak warisanku bumi bertuah,
Didepanmu hakikat cabaran merusuh,
Bertelukkanlah akal,
Bermuarakanlah budi,
Takut terkepung di kuala musuh,
Jangan lemas di pantai binasa,
Kerana dihempas badai perasaan,
Kerana dilambung rasional terbejat.

Anak-anak warisanku bumi bertuah,
Dirimu permata sinar negara,
Jasadmu kekuatan harapan bangsa,
Akalmu penggerak nadi seluruh,
Budimu tuah sepanjang ingatan,
Kelak disanjung zaman berzaman..


“sayyidah!!!” aku tersentak. Perasaanku terbebar. Aku menjadi takut. Jasadku terkesima, menunggu butir seterusnya

“sayyidah cacat,sayyidah cacat” ketawa nakal terburai di belakangku.aku memang sudah mengagak butir sindiran yang memusnahkan atmaku itu. Justeru ku buang pandangku ke lantai. Aku mengatur langkah. Terhincut-hincut. Memang aku cacat, aku cacat fizikal. Tapi aku tidak cacat akal, aku tidak miskin jiwa seperti kalian! Mataku berkaca-kaca. Aku cuba menahan air mataku. sungguh, aku tak mampu. Tuhan, berikan aku kekuatan!

Kata ibu, meskipun aku dilahirkan dengan kaki yang tempang, namun aku punya raut wajah yang manis dan punya jiwa yang tabah. Aku tersenyum, tatkala memandang cermin di hadapanku. Terima kasih ibu.Ibu lah semangatku untuk berada dalam sekolah yang dipenuhi orang-orang yang iri dengan kecacatanku. aku dimusuhi laksana aku seorang pencuri. Aku tidak tahu apa puncanya. Hinakah menjadi seorang cacat seperti diriku? Sesungguhnya di mana-mana sahaja aku melihat diskriminasi terhadap orang kurang upaya sepertiku. Kadang-kadang disisihkan seolah-olah gelandangan tidak berguna. Golongan seperti kami ini takut untuk didekati laksana kami haiwan yang menjijikkan layaknya. Aku beristighfar. Merdekakah kita sebenarnya?

to be continued...